Thursday, March 24, 2016

Menjadi Orang Bermasyarakat

Bismillah,

Antara perkara yang dipelajari semasa berpraktikal hampir 6 bulan di Kerteh ini adalah untuk belajar hidup bermasyarakat. Melalui program-program Nisa', usrah Ameerah, aktiviti BAKIP dan juga interaksi dengan staf-staf Carigali sendiri, menjadi pelajar engineering tidak bermakna dengan penggunaan jargon-jargon teknikal dan laras bahasa berkadar tinggi.  Segala ilmu yang aku pelajari hanya akan jadi bernilai apabila aku benar-benar faham, lalu dituturkan dengan bahasa yang lebih mudah agar bermanfaat kepada pendengar. Supaya mereka faham dan maklum akan hal yang sebenar, tanpa mengira latar belakang.

Ada Apa Dengan Menjadi Orang Masyarakat? 

HAMKA menyebut akan erti orang bermasyarakat dalam tulisannya Pribadi Hebat yang bunyinya begini :
" Dia suka bergaul, suka menolong, tidak menyisih dari masyarakat,  tidak memikirkan kepentingan diri sendiri atau keluarganya sahaja, tidak gila pangkat, mengerti kedudukan orang lain dan merasa dirinya ikut dalam kedudukan itu.  Hormat kepada yang tua, kasih kepada yang muda, pandai bergaul, pandai berkawan. Kita gelarilah dia dengan gelar 'orang masyarakat '."


Beliau juga menambah lagi, " banyak guru, dokter, hakim, insinyur dan orang yang memiliki banyak koleksi buku serta diplomanya segulung besar, dalam masyarakat dia menjadi mati sebab dia bukan 'orang masyarakat'. Hidupnya hanya mementingkan diri sendiri dan diplomanya, hanya untuk mencari harta. Hatinya sudah seperti batu, tidak mempunyai cita-cita selain kesenangan dirinya. Pribadinya tidak kuat, karena ia bergerak bukan karena dorongan jiwa dan akal.  Dan, kepandaiannya yang banyak seringkali menimbulkan ketakutan, bukan menimbulkan keberanian untuk memasuki dan menjalani hidup. "

Sangat penting untuk kita sebagai daie supaya menjadi orang masyarakat, bermula dengan masyarakat kampus itu sendiri. Kenalpasti apa kelebihannya, apa kurangnya, apa cabaran dan dilemanya. Waqie di kampus IPTS manakan sama dengan Universiti Awam. Juga untuk belajar mengenali orang di luar lingkungan universiti, supaya kita sedar akan bebanan ilmu yang tertunggak di pundak.  Bahawa segala penerangan dan fakta itu perlu sampai kepada semua, tidak kira di ceruk mana sekalipun. Mereka berhak mengetahui kebenaran.

40 Tahun Rasulullah s.a.w Ditarbiyah

Semasa Seminar Akhlak beberapa minggu lepas, Ustaz Syaari menerangkan hikmah mengapa Rasulullah s.a.w ditarbiyah selama 40 tahun sebelum menerima tanggungjawab kerasulan.

Yang pertama, social engagement. 
Jangka masa 40 tahun itu cukup panjang untuk Baginda mengenali kaumnya dan kaumnya mengenali Baginda. Integriti Baginda cukup terbina, dengan peristiwa Hilfal Fudhul dan juga perletakan semula Hajarul Aswad. Bagindalah Al-Amin kerana akhlaknya yang cukup dipercayai masyarakat. Dan Baginda juga cukup mengenali masyaratnya. Apa dilema mereka, apa cabaran mereka, aqidahnya bagaimana. Rasulullah s.a.w membesar dengan mereka, itulah social engagement yang sangat penting sebagai tarbiyah dari Allah.

Yang kedua, membina kematangan diri.
Selepas penurunan wahyu yang pertama, bermulalah episod ujian kepada Baginda dan keluarga,  juga sahabat-sahabat yang terawal memeluk Islam. Ujian kehilangan ibu, ayah dan datuk tersayang semasa kecil sebenarnya membina akhlak Rasulullah s.a.w yang sabar. Lamanya proses tarbiyah Baginda adalah demi kelangsungan penyebaran Islam 23 tahun berikutnya selepas turunnya wahyu dan dengan janji Allah masih tersebar hingga sekarang hinggalah hari kiamat. SubhanAllah 

Book smart or street smart? Or both?

Masih banyak untuk saya perbaiki dan pelajari, tapi ternyata perjalanan praktikal ini banyak membuka mata dan minda. Untuk menjadi daie, kita perlu menjadi orang bermasyarakat. Bukan sekadar mahasiswa yang tenggelam dengan teori dan fakta, tapi mana isinya? Juga teringat pesanan naqib usrah kami, Ir Haji Khairil yang menggalakkan supaya kami bermula dari bawah dan membangunkan diri secara 'street smart'. 

We have lots to do, let's start moving! 
Siiru ala barakatillah 


No comments:

A Letter to My Deceased Cat

Hi Kunyet, I hope you're doing fine over there. We just found out that you're no more with us this morning. No longer meowing e...